MACHANG - Bermula dengan sebuah kampung tradisional biasa yang tidak dikenali,
Laklok terus mengorak langkah apabila dinobat pemenang tempat ketiga Anugerah Desa Cemerlang
(ADC) peringkat Kebangsaan pada 2006.
Kejayaan itu menjadi titik permulaan kepada penduduk kampung untuk terus membina kejayaan dan
hasilnya nama kampung itu dikenali pelbagai agensi kerajaan, malah sering menjadi lokasi pilihan
untuk dilawati.
Daya kepimpinan berwawasan pemimpin kampung membuktikan kejayaan bukan perkara mustahil
asalkan gigih berusaha, bersatu hati dan tidak pernah mengenal erti penat.

Kampung Laklok terletak dalam Mukim Bunut Daerah Panyit, di selatan Bandar Machang dan boleh
dikunjungi melalui Jalan Machang-Kuala Krai dengan jarak 10.5 kilometer dari bandar Machang.
Nama Laklok agak pelik malah tidak membawa sebarang maksud mudah difahami.
Jika kebanyakan kampung dinamakan berdasarkan nama pokok, tumbuhan atau kejadian pelik,
Kampung Laklok dikatakan berasal daripada perkataan “Lak Lok” yang bermaksud berduyun-duyun
atau orang yang datang beramai-ramai.
Semarak seni budaya Melayu
Pengerusi Komuniti 1Malaysianya (K1M), Tengku Ghazali Tengku Jusoh berkata, pada zaman
dahulu, kampung tersebut menjadi pusat pelbagai jenis permainan dan seni kebudayaan tradisional
seperti menora, Mak Yong, Wayang Kulit, Dikir Barat dan Gasing.
Katanya, perkataan Laklok merujuk kepada orang ramai yang datang beramai-ramai ke kampung itu
bagi menyaksikan seni kebudayaan tersebut.
Tambahnya, selepas pelbagai pembangunan dan penambahbaikan, seni kebudayaan Melayu
disemarakkan kembali dan sering dijadikan persembahan dan hiburan pengunjung yang datang
menginap di inap desa kampung itu.
“Seni kebudayaan tradisional masih utuh di sini selepas usaha bagi menyemarakkannya dilaksanakan
semula apabila kampung ini berjaya merangkul tempat ketiga bagi ADC 2006 lalu.
“Malah ia menjadi tarikan pengunjung. Pelbagai jenis persembahan budaya ditawarkan dan
pengunjung boleh membuat permintaan berdasarkan minat mereka,” katanya yang gigih
membangunkan kampung dengan menjayakan pelbagai projek pembangunan termasuk baja dan
tanaman organik.
Ada tarikan air terjun
Tengku Ghazali berkata, kampung tersebut juga turut mempunyai keistimewaan apabila wujudnya
air terjun semula jadi di kawasan itu yang dikatakan dihuni puteri tujuh beradik.
Katanya, pihaknya menamakan inap desa kampung itu sebagai inap desa Laklok Tujuh Lagenda atau
dikenali sebagai 'The Seven Legend Laklok Homestay' sempena kisah lagenda itu.
Setiausaha K1M, Mahiza Mohd Nor berkata, selain air terjun, sebatang pokok jenereh dipercayai
berusia 200 tahun turut dianggap istimewa oleh penduduk di sini.
Katanya, pokok yang terletak berhampiran anjung bestari K1M itu mempunyai tarikan tersendiri
kepada pengunjung untuk mengetahui sejarahnya.
Tambahnya, semangat kerjasama utuh antara penduduk menjadi resipi kejayaan kampung itu
menempa kejayaan demi kejayaan.
“Selepas hampir 10 tahun memenangi ADC dan dalam masa sama menyertai pelbagai pertandingan
membabitkan kampung, kami berazam membangunkan kampung ini sekali gus meningkatkan
ekonomi penduduk yang rata-rata bekerja sendiri,” katanya.
Info
Pencapaian peringkat kebangsaan
2005: Skim Amalan Ladang Baik Malaysia anjuran Jabatan Pertanian
2006: Tempat Ketiga ADC Kebangsaan anjuran KKLW
2013: Anugerah Desa Ilham Kebangsaan (saguhati) anjuran KKLW