Wednesday 8 January 2014

Anak Pengerusi GDW Laklok meninggal


LAKLOK - Anak Pengerusi Gerakan Daya Wawasan (GDW) Laklok, Tengku Ghazali Tengku Jusoh (Ku Li) meninggal dunia di sini, kelmarin akibat kemalangan jalan raya.

Tengku Ghazairie, 15, meninggal dunia pada jam 9.05 malam di Hospital Machang di sini setelah mengalami kecederaan parah di keseluruhan badan.

Isteri Ku Li yang juga Setiausaha GDW Laklok, Mahiza Mohd Nor berkata, kemalangan berlaku di jalan masuk Ke Kampung Bunut ketika Tengku Ghazairie dalam perjalanan menjalani latihan bola sepak.

Katanya, motosikal ditunggang arwah bertembung sebuah kereta dari arah bertentangan kira-kira jam 4.30 petang, kelmarin.

Katanya, anak ketiganya itu memang meminati bidang bola sepak dan sering menyertai pertandingan yang diadakan.

“Pertandingan bola sepak diadakan hari ini dan semalam di Kampung Berangan Mek Nab dan setelah menghantar baju pasukannya untuk diubahsuai kepada jiran kami, dia terus ke padang untuk menjalani latihan bersama rakannya.

“Dia sempat berpesan kepada jiran (tukang jahit), agar menyiapkan segera bajunya itu untuk dipakai pada perlawanan, belum pun sempat bajunya diubahsuai, dia telah pergi meninggalkan kami,’’ kata Penyelia Pembangunan Desa dan Perhubungan, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Machang itu kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Laklok kira-kira jam 11 pagi, semalam.

Mahiza berkata, anaknya yang lebih mesra disapa Ngah itu tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik cuma kelihatan kurang bertenaga daripada biasa.

“Dia seorang ceria dan aktif setiap masa, tetapi sejak akhir-akhir ini dia nampak sedikit keletihan. Arwah sangat meminati bola sepak dan beria-ia mahu mengikuti Sesi Pemilihan Pelatih Akademi Al-Hamra Red Warriors (ARMY) yang akan diadakan esok di Tanah Merah (hari ini).

“Terima kasih kepada semua keluarga dan rakan yang banyak memberikan sokongan kepada kami dalam menghadapi dugaan ini ,’’ katanya.

Sinar Harian
30 Apr 2011

Tuesday 7 January 2014

Tak sempat daftar anak sekolah


Mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di keseluruhan badan.
MACHANG - Seorang pengawal keselamatan maut apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Kampung Simpul, dekat Kemuning, di sini, kira-kira jam 8 pagi kelmarin.

Mangsa, Mohamad Abd Hamid, 58, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Jambu Lawar itu dikatakan dalam perjalanan balik ke rumah bagi mengambil anaknya untuk didaftarkan di sekolah yang sama selepas tamat waktu bertugas.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Che Malek Bedot berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal dari Kuala Krai ke- Machang sebelum dirempuh sebuah kereta ketika cuba membelok ke kanan.

Menurutnya, kemalangan di Kilometer 46.2, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai itu membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kereta dari arah yang sama.

“Ketika membelok ke simpang Kampung Simpul, motosikal mangsa dipercayai dirempuh kereta di bahagian tengah dan menyebabkan mangsa tercampak ke bahu kiri jalan.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di keseluruhan badan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Che Malek berkata, punca kemalangan masih disiasat dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di kampungnya, kelmarin.

Pada perkembangan sama, Che Malek turut menasihatkan orang ramai supaya memandu dengan berhemah dan mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

“Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu pada musim tengkujuh ini menyebabkan jalan licin dan pandangan pemandu agak terhad, terutamanya ketika hujan lebat.

“Tolak ansur dan memandu dengan berhemah mampu menyelamatkan nyawa dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya.